7 Rukun Bisnes : Pertunjuk dari Surah al-Fatihah

1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang.
                Pelbetulkan niat dalam berbisnes. Visi, Misi, Matlamat dan Tujuan hendak sejajar dengan suruhan dan tegahan Allah. Setiap langkah, setiap urusan berdasarkan Patuh Syariah. Maka tidak tergamak untuk menipu dalam timbangan dan mencuri dalam sukatan.
2. Segala puji bagi Allah Tuhan Pemilik dan Penguasa Alam.
                Sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus alam bagi pihak Pemilik dan Penguasa Alam, maka perlulah sentiasa bersikap Amanah dan berjiwa besar. Mentadbir dan mengurus alam tidak boleh dijalankan, disempurnakan oleh  jiwa yang kerdil. Usahawan adalah seorang yang berjiwa besar. Visi, Misi, Matlamat dan Tujuan tidak sekadar kekampungkan, malah melangkaui negeri dan Negara ke persada dunia.
3. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
                Sikap pemurah itu menghapus sikap kedekut maupun bakhil. Maka lahirlah amalan suka memberi,  suka bersedekah dan berzakat.  Memberi, bersedekah serta berzakat itu bukanlah  kerana bangga diri ataupun mahu menunjuk-nunjuk tetapi  semata-mata atas rasa kasihsayang sesama insan dan sesama makhluk  bagi mendapat keredhaan Allah.
                Baginda Nabi memperjelaskan lagi dengan maksud, “Tidak sempurna iman seseorang sehingga beliau menyayangi saudaranya sebagaimana beliau menyayangi dirinya sendiri”
4. Raja Yang Maha Menguasai   Hari Pembalasan.
                Setiap langkah, setiap tindakan perlu dilihat pada natijah dan hasilnya. Setiap tindakan ada tindakbalasnya. Setiap pelaburan ada untungruginya. Seorang usahawan hendaklah sentiasa memikirkan ROI dan  bertindak berdasarkan orientasi hasil. Hasilnya ada yang disegerakan semasa hidup di dunia dan hasilnya juga diperolehi di alam kubur, di padang mahsyar dan di surga atau di neraka.
5. Hanya kepada-Mu kami mengabdikan diri dan hanya kepada-Mu jualah kami memohon sebarang pertolongan.
                Hidup bukannya untuk menjadi hamba abdi kepada Wang Ringgit dan Harta Benda . Berniaga ada pasang dan ada surutnya. Masa mewah tidaklah sampai lupa diri hingga berlagak macam Qarun mahupun Firaun. Masa merudum, jatuh bangkrap tidaklah susah hati hingga mahu membunuh diri, Allahlah tempat memohon segala pertolongan.
6. Tunjukilah kami jalan yang benar.
                Jangan merasa diri sudah cukup pandai, sudah tahu segala-galanya. Mohonlah pertunjuk dari mereka yang bernama guru, bernama pakar, bernama mentor. Ilmu Allah amatlah luas yang terdiri dari ilmu kalam, ilmu ghaib dan ilmu syahadah. Sentiasalah mencari dan meminta pertunjuk.
Dunia  sentias berubah dari semasa ke semasa, ilmu pengetahuan berkembang dari hari ke hari. Ilmu keusahawanan juga berkembang, usahawan yang tertinggal maklumat dan ilmu baru akan semakin jauh di belakang. 
Baginda Nabi telah berpesan,”kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada dua perkara iaitu al-quraan dan sunnah”.
7. Jalan orang-orang yang  Engkau telah anugerahkan nikmat, bukannya jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.
                Contoh telah ada di depan mata, contohilah sikap-sikap mereka yang Berjaya dan jauhilah perangai oraang-orang yang Gagal. Bak kata pepatah, yang baik, yang berjaya dijadikan tauladan dan yang jahat, yang gagal dibuatkan sempadan. Seorang usahawan sentiasa bertindak berdasarkan data dan fakta serta pertimbangan yang mempunyai pertunjuk yang jelas. Nikmat yang berpanjangan , bisnes yang penuh keberkatan itu dikecapi oleh mereka yang menjauhi perkara-perkara yang dimurkai Allah. Bila sesat dihujung jalan, maka baliklah ke pangkal jalan.